Friday, February 3, 2012

KERAJAAN LEMAH???

Hari ini sesiapa yang bercakap tentang kebaikan Kerajaan maka akan dipandang secara sinikal oleh beberapa pihak. Bilangannya tidaklah terlalu ramai namun kelihatan 'banyak' kerana mereka golongan yang lantang berkokok mempromosi tentangan mereka terhadap sesuatu dasar yang diketengahkan Kerajaan Pusat. Semua yang telah tersedia dan perancangan masa hadapan dilihat secara kritikal namun malangnya yang dicanang adalah kelemahan dan yang baik dipalitkan dengan pelbagai 'omongan busuk' dan kata-kata fantasi. Positifnya, cara 'mereka' ini dapat mengimbangi pelaksanaan sesuatu dasar namun bila terlalu berlebihan dengan niat mengambil populariti maka yang benar baikpun dimanipulasi agar kelihatan teruk. Rakyat dimomokkan dengan khabar fantasi semata-mata. Yang betulnya mereka dan yang buruknya adalah Kerajaan. Dikatakan lembab, tidak berintergriti, dan bermacam-macam lagi. Rakyat dimomokkan dengan kenyataan 'menurut sumber yang boleh dipercayai' serta 'maklumat dari dalam' dengan mengelirukan rakyat untuk menilai. Rakyat seharusnya tanamkan diri dengan sikap suka membaca dan mencari kebenaran berfakta agar tidak mudah menilai secara semborono. Orang yang selalu bercakap tentang kelemahan diri orang lain sebernarnya cuba lari dari kesalahan diri sendiri. Ramai menilai mudah sesuatu urusan yang orang lain lakukan dengan berkata sepatutnya itu dan sepatutnya ini. Sebenarnya kekadang kita harus juga meletakkan diri kita pada kedudukan orang yang membuat keputusan dengan menilai segala kekangan yang ada sebelum kita membuat penilaian terhadap terhadap mereka. Kalau diselusuri apa yang telah di lakukan Kerajaan terhadap rakyat tanah ini maka kita akan dapati banyak manafaat yang telah kita perolehi. Syaratnya harus berfikir secara tenang, mendalam, sokongan data serta fakta dan tanpa sentimen.


Pandangan Sinikal

Pembinaan Lebuh Raya Utara-Selatan, pembangunan Kereta Nasional Proton, pengujudan Putrajaya, Cyberjaya, KLCC, KLIA, SIC, Petronas, Rancangan Felda, Jambatan Pulau Pinang dan pelbagai lagi dikatakan dibangunkan dengan air mata darah rakyat. Mengangkat martabat warga Malaysia ke angkasa melalui pengorbanan Dr. Syed Muzafar Syukur juga dikatakan sebagai membazir dan yang malangnya ada kata-kata sinis mengatakan Dr. SMS sebagai "Hero Ciptaan". 'Membuat jarumpun orang melayu tidak mampu' adalah antara contoh ayat sinikal pernah wujud satu ketika dulu. Ironinya, telah terbuktipun semua tanggapan ini salah namun masih tidak mampu membuka mata mereka yang pernah mengeluarkan kata-kata sinikal begini. Golongan ini pulak tidak pernah membetulkan kenyataan mereka yang menyebabkan rakyat terkeliru apatah lagi mengharapkan kata maaf dari mereka. Pandangan sinikal dan hujah kritikal begini tidak pernah membantu dalam membina Negara Malaysia makmur tetapi lebih kepada melemahkan semangat serta keboleh percayaan rakyat terhadap kebolehan bangsa sendiri mentadbir. Mungkin inilah kehendak mereka. Malaysia hari ini mampu berdiri gah dan dihormati di serata dunia dan datang kita hari ini disedari dan hilangnya kita dicari. Kemana pergi, pandangan kita dinanti, warga kita dihormati. Malangnya segelintir Warga Malaysia tidak mahu mengakui malah memandang rendah sehingga ketahap menghina pemimpin negara sendiri. Mahafirhaun, Lembik, Pembunuh dan sebagainya kata nista dilemparkan. Kalaupun tidak mengenang tapi janganlah sampai menghina Pemimpin yang menjulang nama Malaysia.
>

Thursday, February 2, 2012

SPR TERSEPIT???

Bila membaca Berita Harian Online Bertanjuk GERAKAN, PKR "tak bayar cukai, tak boleh undi" (rujuk sini) yang senada membantah cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara dan tidak membayar cukai daripada mengundi pada pilihan raya umum rasa terpanggil menulis sesuatu.

Sesuatu yang resional kepada persoalan pokok membataskan hak warganegara untuk menunaikan tanggungjawab menentukan kerajaan. "Hak" dan "Demokrasi" sememangnya sesuatu yang selalu dijadikan alasan kuat dalam mempertahankan atau menyangkal sesuatu pandangan. Menurut faham saya sememangnya menjadi "hak" seseorang warganegara yang mencapai umur 21 tahun pada tarikh pengundian dan telah berdaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengundi. Hak ini dilindungi perlembagaan negara dan ini BENAR.. Malaysia juga mengamalkan Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan itu juga BENAR.. Terfikir juga pasal "hak" kerajaan dan "hak" Negara kita. Apakah Kerajaan tidak memiliki "hak" dan sebegitu juga Negara. Kalau boleh saya umpamakan si anak meninggalkan rumah tanpa mempeduli sama sekali rumahnya, apakah hak yang wujud lagi. Lebih-lebih lagi sekiranya sianak tadi langsung tidak mempedulikan rumahnya sendiri. Ibarat kata mengirim garampun berasa payah adakah sianak ini masih memiliki hak yang sama dengan penghuni yang menghuni rumah itu. Bukan cuba menafikan hak sianak itu kerana masakan putus pertalian itu kerana darah kelahirannya tertumpah di tanah rumah itu namun pada pandangan saya kewajaraan persamaan hak perlu diperhalusi agar yang setia menghuni rumah itu tidak teraniaya.

Saya tidak mengatakan semua yang meninggalkan rumah sendiri itu semestinya melupai asalnya namun pasti ada yang lupa akan tanahnya dan usulnya sendiri. Jangankan pulang, mendengar kabarpun terlalu berat. Pasti juga semuanya bersebab namun perkara pokok yang penting jangan sampai "yang setia menghuni" TERANIAYA. Justeru, bukan juga bersetuju dengan tindakan SPR namun makanisma tepat wajar dicari agar semuanya berpuas hati dalam situasi menang-menang. Pandangan saya mungkin tidak popular namun bukan menuruti kata sesiapa. JANGANLAH BENARKAN ANAK YANG LUPA ASAL DAN RUMAHNYA UNTUK MENENTUKAN KETUA RUMAH. Sebabnya perlu melihat kepada yang ramai dari yang segelintir. Lagipun kalau tidak menyumbang sesenpun kenapa perlu bersuara dan menuntut hak sedang hak penghuni serta rumah dinafikan. Bimbang akan menjadi perosak dari pembina. SPR kali ini pasti tersepit namun berharap bahawa badan bebas ini mampu melaksanakan tugasnya dengan berkesan.