Monday, November 9, 2009

PENULISAN - Antara Anugerah Dan Keinginan

Telah lama saya tidak menulis dan bukan mudah juga untuk mencoret sesuatu kalau sememangnya idea tengah kontang. Telah hampir satu jam saya dihadapan komputer mencari ilham untuk diabadikan namun sesuatu yang saya harapkan belumpun menampakkan bayangnya. Kalau berbicara tentu agak mudah untuk melontarkan pendapat, pandangan ataupun komen. Tapi menulis ini pada hemat saya memerlukan masa yang tepat. Idea ini datang tidak selalunya pada masa kita perlukan. Saya selalu terfikirkan sesuatu yang menarik untuk diabadikan dalam bentuk coretan namun apabila mata terpejam lena akhirnya idea yang menarik terabai begitu saja. Satu saat juga bila idea datang menerjah, namun kesibukan menghimpit masa yang ada, lantas sekali lagi idea ini terabai. Ada juga pendapat kawan yang hampir kepada saya bahawa saya terlalu memikirkan sesuatu yang berat-berat maka agak berat jugalah tangan ini menekan papan kekunci komputer ini untuk merakamkan sesuatu. Bagaimanakah agaknya mereka yang tiap masa medium sebegini terisi setiap masa dengan idea minda mereka? Apakah kerja mereka duduk sahaja dihadapan komputer? Apapun itu kelebihan para penulis. Satu anugerah yang diperolehi yang bukan semua orang boleh memilikinya. Sejujurnya saya berasa kagum pada para penulis kerana merasakan diri ini sangat tertarik untuk menulis apa juga yang saya rasakan penting dan menarik namun ada kelemahan besar menghambat saya untuk kerap menulis. Janganlah anugerah yang besar ini digunakan ke jalan-jalan yang meruntuhkan kerana penulisan ini sesuatu yang sangat meningalkan kesan sepanjang zaman kepada para pengemarnya kerana ia adalah penzahiran idea penulis. Percakapan selalu dilupakan namun penulisan tetap tersemat dalam perjalanan hidup manusia. Lantas setiap yang baik yang dikongsikan melalui penulisan pasti ada ganjarannya tersendiri di dunia mahupun di Akhirat kelak dan sedemikian jugalah sebaliknya. Mudah-mudahan kita mengunakan setiap sesuatu kelebihan yang ada pada kita untuk kebaikan Agama, Negara, Diri, Keluarga dan Masyarakat. Saya mencoret sesuatu secara pribadi agar pada masa hadapan saya dapat menilai diri sendiri. Akhirnya...

Sekian...

Isnin - 09 November 2009
(07.17 minit petang)

No comments:

Post a Comment