Monday, December 7, 2009

PENGAJARAN DARI SEHATI BERDANSA

Program Sehati Berdansa Anjuran Astro sebenarnya kalau dilihat dari sudut positif ada pengajaran berguna yang boleh diambil iktibar. Program "realiti show" ini adalah merupakan program pertandingan dan menawarkan hadiah yang tidak kurang besarnya. Lebih dari itu juga, sang juara tentunya akan melonjakkan popularitinya dan ini adalah perkara terpenting bagi selebriti dalam industri seni Negara. Dua hadiah besar ini semestinya menjadi rebutan pada sesiapa yang mengikuti program ini. Saya bukanlah peminat kepada program ini namun ada perkara yang telah menarik perhatian saya.

Dalam pertandingan semestinya akan akan ada pihak yang menang dan juga yang yang kalah. Apa yang menariknya adalah semangat yang ditunjukkan oleh para peserta ini dalam mengejar impian masing-masing.

Pengundian telah dibuat untuk menyingkirkan pesaing mereka dalam pentas yang sama namun apabila ada perubah kepada keputusan pihak penganjur, semua peserta akur. Apa yang lebih menarik lagi bila semua peserta memperlihatkan reaksi gembira mereka sama ada yang kekal apatah lagi yang telah tersingkir. Lumrahnya dalam pertandingan, pihak yang bertanding sewajarnya mengelakkan banyak persaingan berlaku bagi melebar luaskan peluang untuk menjadi juara. Menongkah kebiasaan dan atas dasar persaingan sihat, suasana positif dapat dilihat didalam realiti Sehati Berdansa ini. Sedemikian juga satu ketika dulu didalam program realiti Akademi Fantasia. Perkara sama turut berlaku bila Asmawi diundi masuk semula yang asalnya telah tersingkir. Bertuah bagi Mawi kerana menjadi Juara dan yang menariknya juga tidak ada bantahan secara kecil kecilan apatah lagi besar-besaran bagi kedua-dua 'realiti show' ini.

Kenapa kita memilih untuk bertingkahlaku berbeza bila dalam sudut yang sama cuma pentasnya berbeza. Dalam hal politik umpamanya, si bertanding dan penyokong bagai hilang kewarasan dalam menzahirkan sokongan. Berpolitik sepanjang masa, berhujah tak tentu arah, fitnah menjadi biasa yang akhirnya rakyat menjadi resah lalu berbalah bagai tak jumpa jalan penyudah. Kesabaran dan kewarasan akal ditambah dengan ilmu serta panduan agama diperlukan dalam mewajarkan sebarang keputusan bagi setiap isu pada masa kini.

Bila menilai biarlah melihat sama kebaikan yang ada dan jangan hanya sekadar mencari salah sahaja. Adillah pada semua dan semoga penilaian kita tidak tersasar. Sekadar ingatan untuk diri sendiri dan berpesan kearah kebaikan bagi yang mahu memahami.


Salam Perjuangan..

15hb Disember 2009

Selasa (9.37pm)

No comments:

Post a Comment